Latar belakang Aplikasi COVID-19

Penjejakan kontak merupakan salah satu elemen penting dalam mengawal sesuatu wabak. Namun, seiring dengan meningkatnya jumlah kes, penjejakan kontak semakin sukar dilakukan.[2][3] Penjejakan kontak digital dapat lebih berkesan berbanding kaedah penjejakan tradisional apabila diaplikasikan pada khalayak secara meluas. Pada Mac 2020, sebuah permodelan yang dilakukan oleh pasukan dari Big Data Institute di Universiti Oxford menemui bahawa apabila 80% penduduk suatu bandar yang memiliki populasi satu juta orang menyumbang dalam sistem penjejakan ini, wabah koronavirus di bandar tersebut dapat dikawal. Senario yang digunakan pada permodelan tersebut membolehkan orang-orang lanjut usia melakukan pengasingan mandiri, sementara orang-orang yang bukan lanjut usia dan tidak menunjukkan gejala tetap melakukan aktiviti di luar rumah hingga mendapat peringatan bahawa mereka kemungkinan berisiko terdedah dengan COVID-19.[4][5] Meskipun demikian, aplikasi penjejak seperti ini cukup sukar diterapkan kerana masalah privasi.[6]